Tentang Sendirian Berhad

Syarikat sendirian berhad (sdn. Bhd.) ialah salah satu dari 2 jenis syarikat berhad dengan saham yang ditubuhkan dengan bermatlamatkan keuntungan. Penubuhan, perjalanan dan penutupan syarikat ini adalah dikawal selia oleh Akta Syarikat 1965.

Liabiliti syarikat sdn bhd adalah terhad. Ianya terhad setakat jumlah modal yang dikeluarkan oleh pemiliknya sahaja. Jika pemiliknya telah mengeluarkan jumlah modal tersebut, pemilik tidak perlu lagi menyumbang wang kepada syarikat walaupun dalam keadaan syarikat diancam kebangkrapan akibat gagal membayar hutangnya.

Syarikat sdn bhd juga mempunyai entiti perundangannya tersendiri seperti manusia biasa. Ianya boleh meminjam menggunakan namanya, membeli, menyewa, memasuki kontrak, menyaman, disaman, memiliki harta dan hartanah kesemuanya menggunakan namanya tanpa melibatkan nama pemiliknya.

Semua urusan berkaitan syarikat sdn bhd dari penubuhan sehingga penutupan perlu dilakukan di pejabat pendaftar syarikat atau dikenali kini dengan nama Suruhanjaya syarikat Malaysia (SSM) yang beribu pejabat di Menara SSM, KL Sentral, Kuala Lumpur.

Untuk menubuhkan syarikat sdn bhd, minimum 2 orang pengarah syarikat yang mempunyai alamat kediaman di Malaysia diperlukan. Selain itu, minimum 2 orang pemegang saham juga diperlukan bagi melengkapkan proses penubuhan. Pun begitu, Pengarah dan pemegang saham syarikat boleh dikalangan orang yang sama.

Syarikat sdn bhd diwajibkan untuk melantik sekurang-kurangnya seorang setiausaha syarikat yang dinyatakan oleh AS 1965 samada dengan menggajinya bekerja dengan syarikat atau mendapatkan perkhidmatan syarikat setiausaha.

Pada setiap hujung tahun, syarikat sdn bhd diwajibkan oleh AS 1965 untuk:

  1. Menyiap dan membentangkan laporan akaun diaudit syarikat di dalam Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) Syarikat.
  2. Mengadakan MAT syarikat
  3. Menyerahsimpan satu laporan tahunan syarikat ke SSM

Kegagalan syarikat sdn bhd dalam mematuhi ketiga-tiga keperluan wajib di atas boleh menyebabkan syarikat dan para pengarahnya dikenakan kompaun oleh SSM serta jika disabitkan kesalahan di mahkamah boleh menyebabkan syarikat dikenakan penalti yang tinggi.

Syarikat sdn bhd akan terus menerus wujud walau dengan apa jua perubahan yang berlaku kepada para pemiliknya. Ia juga tidak akan tertutup walau dengan kematian semua pemiliknya. Ianya akan terus wujud melainkan jika satu prosedur penutupan terhadapnya dilakukan samada melalui SSM ataupun mahkamah.