Tentang Yayasan Di Bawah JPM

Yayasan di bawah JPM ialah sebuah pertubuhan bermatlamatkan kebajikan yang ditubuhkan di bawah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri. Penubuhan, perjalanan sehinggalah kepada penutupan yayasan ini adalah dikawalselia oleh Akta Pemegang Amanah (Pemerbadanan) 1952.

Yayasan ini ditubuhkan bagi tujuan agama, pendidikan, kesusasteraan, saintifik, khairat/kebajikan atau sosial seperti yang diperuntukkan di bawah seksyen 2 Akta tersebut.

Yayasan ini juga mempunyai liabiliti dan entiti yang berbeza dari para pemegang amanah mahupun pengasasnya. Ia juga boleh mendakwa dan didakwa atas namanya.

Semua urusan berkaitan yayasan ini dari awal penubuhan sehinggalah penutupannya perlu dilakukan di pejabat Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri yang beralamat di Aras 4-8, Bangunan Hal Ehwal Undang-undang, Presint 3, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62692 Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Untuk menubuhkan yayasan ini, minimum 3 orang pemegang amanah diperlukan. Selain itu, seorang atau sekumpulan pengasas juga diperlukan bagi melengkapkan proses penubuhan.

Bagi membolehkan yayasan ini ditubuhkan, kelulusan Menteri di Jabatan Perdana Menteri perlu diperolehi terlebih dahulu. Setelah Menteri berpuas hati dan meluluskannya, satu sijil pemerbadanan akan dikeluarkan sekaligus menandakan yang yayasan ini telah berjaya ditubuhkan.

Pada setiap hujung tahun, yayasan ini diwajibkan oleh Akta Pemegang Amanah 1952 untuk menyerahsimpan ke Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri:

  1. Satu laporan tahunan
  2. Satu laporan akaun diaudit

Sekiranya pengasas atau pemegang amanah dengan persetujuan pengasas ingin membubarkan yayasan ini, segala harta serta wang yang dimiliki olehnya setelah ditolak dan diselesaikan segala perbelanjaan dan liabiliti yang terbabit, perlu didermakan kepada pihak Kerajaan atau mana-mana organisasi kebajikan yang ditentukan oleh LHDN.

Pembubaran tersebut walaubagaimanapun perlu dimaklumkan kepada Menteri melalui Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri.