Tentang Yayasan Di Bawah SSM

Yayasan yang ditubuhkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) ialah salah satu dari 2 jenis syarikat berhad dengan jaminan (SBMJ) yang boleh ditubuhkan di SSM. Ianya merupakan pertubuhan yang ditubuhkan semata-mata untuk tujuan kebajikan tanpa melibatkan aktiviti mencari keuntungan.

Sebagaimana syarikat-syarikat lain yang ditubuhkan di SSM, penubuhan dan perjalanan yayasan ini juga dikawalselia oleh Akta Syarikat 1965. Akta yang sama juga menghendaki dana permulaan sebanyak RM1 juta tunai disediakan sebagai syarat utama untuk membolehkan yayasan ini ditubuhkan.

Liabiliti yayasan adalah terhad. Ianya terhad setakat jumlah jaminan yang dibuat oleh ahlinya ketika yayasan dibubarkan sahaja. Yayasan juga mempunyai entiti perundangannya tersendiri seperti manusia biasa. Ianya boleh meminjam menggunakan namanya, membeli, menyewa, memasuki kontrak, menyaman, disaman, memiliki harta dan hartanah kesemuanya menggunakan namanya tanpa melibatkan nama ahli-ahlinya.

Semua urusan berkaitan yayasan dari awal penubuhan sehingga penutupannya perlu dilakukan di pejabat pendaftar syarikat atau dikenali kini dengan nama Suruhanjaya syarikat Malaysia (SSM) yang beribu pejabat di Menara SSM, KL Sentral, Kuala Lumpur.

Untuk menubuhkan yayasan, minimum 2 orang pemegang amanah yang mempunyai alamat kediaman di Malaysia diperlukan. Selain itu, minimum 2 orang ahli yayasan juga diperlukan bagi melengkapkan proses penubuhan. Pun begitu, pemegang amanah dan ahli yayasan boleh dikalangan orang yang sama.

Yayasan diwajibkan untuk melantik sekurang-kurangnya seorang setiausaha syarikat yang dinyatakan oleh AS 1965 samada dengan menggajinya bekerja dengan yayasan atau mendapatkan perkhidmatan syarikat setiausaha.

Bagi membolehkan yayasan ini ditubuhkan, kelulusan menteri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) perlu diperolehi terlebih dahulu untuk menggunakan perkataan ‘Yayasan’. Untuk tujuan ini, satu kertas kerja lengkap berkenaannya perlu disediakan dan diserahkan ke SSM untuk pertimbangan.

Jika Menteri berpuas hati dan bersetuju meluluskan penggunaan perkataan ‘Yayasan’ ini, satu sijil akan dikeluarkan dan ini menandakan proses penubuhan yayasan boleh diteruskan tanpa sebarang masalah.

Setelah yayasan ditubuhkan, dana permulaan sebanyak RM1 juta tunai yang dinayatakan di atas perlu dimasukkan ke dalam akaun yayasan dalam tempoh 6 bulan selepas dari tarikh penubuhannya. Yayasan juga perlu memohon pengecualian cukai dari pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN).

Pada setiap hujung tahun, yayasan diwajibkan oleh AS 1965 untuk:

  1. Menyiap dan membentangkan laporan akaun diaudit yayasan di dalam Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) yayasan.
  2. Mengadakan MAT yayasan
  3. Menyerahsimpan satu laporan tahunan yayasan ke SSM

Kegagalan yayasan dalam mematuhi ketiga-tiga keperluan wajib di atas boleh menyebabkan yayasan dan para pemegang amanahnya dikenakan kompaun oleh SSM serta jika disabitkan kesalahan di mahkamah boleh menyebabkan yayasan dikenakan penalti yang tinggi.

Sebagaimana syarikat-syarikat lain, yayasan ini akan terus menerus wujud walau dengan apa jua perubahan yang berlaku kepada para ahlinya. Ia juga tidak akan tertutup walau dengan kematian semua ahlinya. Ianya akan terus wujud melainkan jika satu prosedur penutupan terhadapnya dilakukan samada melalui SSM ataupun mahkamah.