Perkongsian liabiliti terhad (PLT) merupakan satu jenis perniagaan alternatif baru yang diperkenalkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Ianya menggabungkan ciri-ciri yang ada pada syarikat sdn bhd dan perniagaan enterprise perkongsian sedia ada.
Keseluruhan perjalanan Syarikat PLT bermula dari penubuhannya sehinggalah kepada penutupannya adalah dikawalselia oleh Akta PLT 2012. Selain itu, peraturan dalaman syarikat PLT adalah mengikut perjanjian PLT yang digubal dan ditandatangan oleh semua pekongsi. Pun begitu, bagi syarikat PLT yang tidak mempunyai perjanjian dalaman sendiri, peruntukan di dalam Akta PLT 2012 adalah terpakai.
Sebagaimana syarikat sdn bhd, liabiliti syarikat PLT adalah terhad. Ianya terhad setakat modal yang dikeluarkan oleh pekongsinya sahaja. Dalam situasi syarikat menanggung hutang-piutang, hanya aset syarikat sahaja yang akan digunakan untuk menyelesaikan hutang tersebut tanpa melibatkan aset pekongsi.
Syarikat PLT juga mempunyai entiti perundangannya tersendiri seperti manusia biasa. Ianya boleh meminjam menggunakan namanya, membeli, menyewa, memasuki kontrak, menyaman, disaman, memiliki harta dan hartanah kesemuanya menggunakan namanya tanpa melibatkan nama pekongsinya.
Semua urusan berkaitan syarikat PLT dari awal penubuhan sehingga penutupannya perlu dilakukan di pejabat pendaftar syarikat atau dikenali kini dengan nama Suruhanjaya syarikat Malaysia (SSM) yang beribu pejabat di Menara SSM, KL Sentral, Kuala Lumpur.
Untuk menubuhkan syarikat PLT, minimum 2 orang pekongsi diperlukan. Syarikat PLT juga diwajibkan untuk melantik sekurang-kurangnya seorang pegawai pematuhan yang boleh dilantik samada dari kalangan pekongsi sendiri atau syarikat setiausaha yang dinyatakan di dalam Akta Syarikat 1965.
Pada setiap hujung tahun, syarikat PLT diwajibkan oleh Akta PLT 2012 untuk menyerahsimpan ke SSM satu perakuan tahunan. Perakuan ini perlu diserahsimpan dalam masa Sembilan puluh hari dari berakhirnya tahun kewangan syarikat PLT itu. Pun begitu, bagi perakuan tahunan yang pertama, tempoh serahsimpan perakuan ini boleh dilakukan dalam tempoh 18 bulan dari tarikh pendaftaran syarikat PLT.
Kegagalan syarikat PLT dalam mematuhi keperluan wajib di atas boleh menyebabkan syarikat PLT dan semua pekongsinya dikenakan kompaun oleh SSM serta jika disabitkan kesalahan di mahkamah boleh menyebabkan syarikat PLT dikenakan penalti yang tinggi.
Sebagaimana syarikat sdn bhd, syarikat PLT ini akan terus menerus wujud walau dengan apa jua perubahan yang berlaku kepada para pekongsinya. Ia juga tidak akan tertutup walau dengan kematian semua pekongsinya. Ianya akan terus wujud melainkan jika satu prosedur penutupan terhadapnya dilakukan samada melalui SSM ataupun mahkamah.